Semoga dengan terciptanya "Disini Ada Cahaya" dapat mengeratkan hubungan siraturohim sesama kita. Disamping saling mengenali antara satu sama lain diharapkan "Disini Ada Cahaya" dapat membuka ruang ilmu yang berguna untuk dikongsi bersama-sama.Cahaya keimanan dan ketakwaan itu yang dicari. Semoga pengisian wadah ini memberi sinar cahayanya.InsyaAllah

Tuesday, May 18, 2010

Ilmu dari bumi barakah......

Perkongsian pengalaman Dr sukainah yang baru pulang dari Jeddah menjadi fokus dalam kelas pengajian hari ini (18.5.2010) cukup bermakna untuk dipelajari. Meraikan tetamu amat-amat dititikberatkan oleh masyarakat Arab di Jeddah, mereka sangat menghormati tetamu yang datang sehinggakan mereka sanggup mengetepikan keperluan diri sendiri. Namun, dalam kesibukkan melayan tetamu mereka masih dapat mengimbangi waktu melayan tetamu dengan waktu solat. Dalam kesibukan melayan tetamu mereka masih berkesempatan untuk menunaikan solat dan mereka menunaikan solat dimana-mana sahaja. Cuba bayangkan fenomena di Malaysia, amalan solat sebegini tidak berlaku, kebanyakan umat Islam di Malaysia bersolat di Masjid, Surau dan rumah.

Selain sangat meraikan tetamu amalan memberi Salam juga adalah amalan yang menjadi kebiasaan disana. Setiap kali bertembung di dalam lif, keluar lif atau dimana jua ucapan salam tidak lekang dari bibir mereka. Ucapan salam dapat mengeratkan hubungan siraturohim antara mereka terutamanya mereka yang peramah. Kalaulah ini dipraktikan di negara kita, sudah tentu hubungan umat Islam semakin kuat dan kukuh. Apabila dilihat dari etika berpakaian sememangnya amalan berjubah hitam (wanita) dan berjubah putih (lelaki) sedikit sebanyak memberi ketenangan dihati apabila tidak kelihatan pakaian yang menjolok mata dipakai.

Seterusnya, amalan sembahyang berjemaah sentiasa menjadi amalan disana. Apabila tiba waktu solat semua aktiviti-aktiviti perniagaan dihentikan seketika bagi memberi peluang kepada umat Islam untuk menunaikan solat berjemaah. Walaupun aktiviti perniagaan dihentikan kerana terdapat undang-undang yang diperuntukkan tetapi sekurang-kurangnya ia menggalakkan umat Islam disana untuk menghormati waktu solat. Lebih untung sekiranya umat Islam disana melakukan perkara tersebut atas niat hanya kerana Allah s.w.t.

Selain menitikberatkan etika waktu solat, etika kerja yang dilakukan oleh mereka juga harus dicontohi. Dimana mereka sangat menepati masa dan waktu kerja diikuti mengikut jadual yang telah ditetapkan. Waktu bekerja digunakan dengan sepenuhnya dengan melakukan tugas-tugas yang telah diberikan. Masyarakat di Jeddah (Islamic Research and Training Institute (IRTI) di Islamic Development Bank) sangat menepati janji. Dimana sekiranya mereka mengatakan mereka akan membaca penulisan (kertas kerja) pada waktu yang dijanjikan dan mereka akan menepatinya.

Manakala, diceritakan pula pengalaman beliau semasa menunaikan umrah dimana sifat kreatif yang ada pada warga Indonesia sehingga membolehkan beliau mencium Hajarul Aswad. Sifat kreatif yang dimiliki membuat mereka senang mencari rezeki dibumi yang barakah itu. Manakala, perasaan takut hadir sebelum membentangkan kertas dirasai oleh beliau adalah "sememangnya fitrah manusia dan berlaku kepada ramai. Tetapi harus hati-hati menempuhnya kerana jika tersilap, kita boleh saja tergelincir dari landasan hingga tidak menghargai kebolehan kita yang Allah kurniakan. Kalau itu berlaku, kita jatuh ke dalam sifat berburuk sangka dengan Allah swt dan tergolong ke dalam golongan yang tidak mensyukuri kurniaan Allah swt. Perkiraannya adalah cukup halus sekali" ( Dipetik melalui penulisan Muhammad Syukri Salleh melalui emeil yang dihantar ke e-group).

Dalam menghasilkan sesuatu dalam menegakkan agama Allah perlu ada cita-cita Islam. Contoh yang paling mudah adalah dalam membuat kajian terutamanya dalam kajian yang berkaitan dengan Islam. Mengambil contoh kajian berkaitan tentang wakaf, kajian yang ingin dilakukan mestilah disertai dengan cita-cita Islam agar kajian yang dilakukan dapat dimanfaatkan oleh umat Islam terutamanya. Peranan guru juga adalah sangat penting dalam membentuk keperibadian pelajar. Sekiranya sifat seseorang guru tidak baik agak mustahil untuk pelajarnya menjadi seorang yang baik.

1 comment:

  1. Salam,

    Alhamdulillah dan terima kasih banyak Che atas perkongsian ini. Mudah-mudahan usaha diberkati.

    ReplyDelete